*http://www.stp.nie.edu.sg/images/Trainers'%20Work/ML/kertaskerja%20MABBIM%202007.pdf
PEMANFAATAN BAHASA DAN SUMBER INTELEKTUAL PERIBUMI
DALAM PEMBANGUNAN SAINS DAN TEKNOLOGI
DEMI KEMAJUAN BANGSA SERUMPUN
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz
Institut Pendidikan Nasional
Universiti Teknologi Nanyang
Singapura
1.0 Pengenalan
Setiap ilmu yang lahir perlu dibentuk dan diuji dengan menjadikan ia teknologi kerana ilmu itu tidak berguna sehingga ia bertukar menjadi teknologi (Abdullah Hassan, 2003). Dunia sains yang memerhatikan sekalian alam ciptaan Tuhan perlu memanfaatkan hasil daripada pemerhatian tadi demi memanfaatkan kemanusiaan. Demikianlah lahirnya teknologi. Bahasa merupakan satu aspek ilmu yang berpotensi menjadi teknologi kerana bahasa merupakan interpretasi ilmu sains dalam bentuk maujud seperti persuratan, dan bentuk abstrak seperti kreativiti.
Bahasa Melayu sudah menjangkau kewujudannya selama 2000 tahun bermula pada abad ke 3 Masehi tetapi ia terus relevan kerana ia tetap dimanfaatkan demi kemajuan tamadun bangsa Melayu. Kini, dalam zaman teknologi menguasai manusia pada era teknologi maklumat, bahasa perlu dimanfaatkan dengan mengeksploitasi sumber intelektual peribumi yang begitu lumayan dan kaya dengan nilai jati diri dan hati budi Melayu. Segala khazanah yang merentasi zaman ini berjaya dihasilkan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu wajar “diteknologikan” demi kemajuan bangsa serumpun. Penulisan ini cuba mengupas sejauhmana bahasa Melayu telah dimanfaatkan dan memanfaatkan sains dan teknologi serta mengkaji potensi-potensi yang ada pada zaman neoteknologi ini untuk pemanfaatan bahasa dan sumber intelektual peribumi. Dalam mengeksploitasi dan memanipulasi bahasa dan sumber inetelektual peribumi, 3 bidang teknologi yang mengeksploitasi dan memanipulasi bahasa dan sumber peribumi telah dikenalpasti sebagai bahan kajian, iaitu teknologi siber, teknologi kreatif (anime) dan teknologi terapi psikologi. Kajian ini juga merumuskan konsep produk Nusantara melalui mekanisme cipta bumi.
1.1 Sains, Teknologi dan Sumber Peribumi
Sains (Webster’s, 1991: 622) merupakan satu istilah luas yang boleh diaplikasikan kepada mana-mana bidang pengajian yang sistematik. Ia juga boleh merupakan pertubuhan ilmu yang bermatlamat menyediakan satu penjelasan yang boleh dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu fenomena berhubung dengan dunia material dan fizikal, melalui eksperimen, pengamatan dan deduksi. Sains moden terbahagi kepada beberapa bidang pengajian termasuk sains sosial yang mengkaji perilaku manusia secara tematik dalam bidang antroplogi, ekonomi, psikologi dan sosiologi.
Teknologi (A.Thomas 2002:73-77) pula merupakan proses penyesuaian alam semulajadi untuk memenuhi keperluan dan keinginan manusia. Teknologi bukan hanya merujuk kepada peralatan seperti komputer, perisian dan kapalterbang, ia juga merujuk kepada pengetahuan dan proses-proses yang digunakan untuk mencipta dan menggerakkan peralatan-peralatan tersebut. Teknologi juga berkait rapat dengan inovasi yakni transformasi idea kepada produk atau proses yang baru dan berguna. Inovasi memerlukan teknologi untuk direalisasikan. Keadaan ini menyebabkan teknologi mempengaruhi masyarakat seperti yang berlaku dalam era globalisasi ini. Teknologi yang menghasilkan internet telah secara tidak langsung memangkinkan fenomena globalisasi. Kehidupan manusia kini berubah dengan budaya baru yang dibawa arus globalisasi. Manusia kini lebih terbuka kepada perkembangan dunia dalam dunia tanpa batasan yang dibawa oleh globalisasi.
Sumber (Webster’s, 1991: 588) merujuk kepada benda yang boleh digunakan untuk memberikan kepuasan kepada keperluan manusia. Memandangkan keperluan manusia sangat rencam, maka sumber merangkumi perkara yang luas. Sumber intelektual sesebuah masyarakat yakni idea dan teknologi merupakan sumber kerana ia menentukan aspek sekitaran yang mana yang diperlukan oleh masyarakat. Misalnya, pada abad ke 19, uranium digunakan hanya untuk menghasilkan gas berwarna. Kini dengan adanya kuasa nuklear, ia menjadi sumber ketenteraan dan kuasa. Revolusi Industri merupakan satu contoh konkrit yang membuktikan bagaimana sumber intelektual memainkan peranan dalam menghasilkan jentera berteknologi baru yang merubah cara hidup dan bekerja manusia. Penghasilan jentera baru ini, seperti teknologi maklumat, merupakan keupayaan idea dan teknologi yang menjadi sumber kerana ia menghidupkan satu kesekitaran baru dalam cara manusia hidup dan bekerja dengan wujudnya internet yang membawa dunia global ke pangkuan manusia. Ia juga merubah pemikiran, sikap, budaya dan alam itu sendiri.
Maka, dalam meninjau sumber intelektual peribumi Melayu, bahasa memainkan peranan utama selaku penjana teknologi minda kerana keupayaan bahasa menyatukan budaya dan pemikiran Melayu. Lahirnya berbagai genre persuratan seperti pantun, gurindam, dan seloka, serta berkembangnya istilah-istilah dalam bahasa Melayu daripada bahasa kuno kepada bahasa moden hari ini membuktikan bahawa teknologi bahasa Melayu amat kukuh dan berkesan dalam menjana teknologi intelektual dalam pelbagai bidang lain. Sumber intelektual peribumi dapat dilihat dalam khazanah persuratan yang memantulkan pemikiran, kreativiti, ilmu, dan hati budi bangsa, dan teknologinya pula terpantul dalam cara ia menjadi sumber kepada inovasi.
2.0 Pemanfaatan Bahasa Melayu Sekitar 2000 Tahun
Selama 2000 tahun, bahasa Melayu dan sumber intelektual peribumi telah dimanfaatkan dalam pembangunan tamadun Melayu Nusantara. Ia berfungsi bukan hanya sebagai penyalur budaya tetapi sebagai bahasa pengungkap intelektual peribumi.
Dalam bahasa Melayu Kuno (Noriah, 1998:58-60) terdapat 157 patah perkataan Melayu atau kata bahasa Autronesia yang masih wujud dalam bentuk asal atau bentuk variasinya. Pada masa itu juga terdapat 132 patah perkataan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit. Kata-kata Melayu kuno yang tidak lagi digunakan pada hari ini adalah tuwi (dengan), inan (itu), tlu (tiga), halap (cantik), hulun / ulun (orang gaji), sarak (memisahkan diri) dan langit (dalam makalangit yang bermaksud memperdaya). Manakala kata-kata daripada bahasa Melayu kuno yang masih digunakan sehingga hari ini adalah aku, ini, kayu, curi, jadi, sana, lagi, ratus, mata, naik, dua dan lain-lain lagi.
Namun demikian, pada hari ini, kosakata bahasa Melayu telah berkembang dengan begitu banyak sekali dan terus relevan dengan istilah-istilah pelbagai bidang dan industri. Antaranya; bahasa dalam bidang-bidang sains, geografi, perubatan, matematik, kimia, fizik, psikologi, aeroangkasa, teknologi maklumat dan puluhan bidang lagi dengan lebih daripada 350 ribu istilah yang telah dihasilkan. Ini berlaku dengan peringkat-peringkat evolusi yang dilalui sejak abad ke 3 lagi dengan pinjaman bahasa-bahasa asing (Muhd Ariff Ahmad, 1990) yang banyak seperti: bahasa Sanskrit (agama, puteri), Tamil (kolam, kedai), Davida (kuda, loji), Hindi (cuti, curi), Arab (akhir, akhbar), Farsi (daftar, kahwin), Cina (cawan, mi), Portugis (bendera, kemeja), Belanda (duit, pekan), dan Inggeris (enjin, stesen). Terkini terdapat bahasa teknologi maklumat seperti: perkakasan (hardware), perisian (software), dan perisian lembut (softcopy); dan Bahasa aeroangkasa seperti: stesen bumi (earth station), pusat pelancar (launch centre), penyimpangan (warping), pelantar (pad), dan penderia (sensor).
Kemampuan bahasa Melayu mengembangkan kosakatanya telah membantu meletakkan kedudukannya antara 10 bahasa utama dunia dengan jumlah penutur yang besar. Ini secara tidak langsung meluaskan lagi cakupan bidang yang mampu dikaji dan dipelajari dengan menggunakan bahasa Melayu semata. Antaranya termasuk ‘antropologi’, ‘sosiologi’, ‘politik’, ‘ekonomi’, ‘sains hayat’, ‘sains politik’, ‘psikologi’ dan ‘kaunseling’. Kesannya juga menjadikan bahasa Melayu sebuah bahasa global. Ia dituturkan bukan sahaja di kawasan Nusantara tetapi mencakupi empat benua. Ia bukan sahaja dipelajari malah diteliti perkembangannya oleh para ahli akademik antarabangsa secara serius di Australia, New Zealand, Jepun, Korea, Russia, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman, Perancis dan Italy.
Potensi bahasa Melayu juga jelas dalam dunia siber. Kajian oleh syarikat perundingcara pemasaran komunikasi, Global Reach, sejak tahun 1995, mendapati bahawa jumlah pengguna internet yang menggunakan bahasa Inggeris pada tahun 2000 ialah 189.6 juta pengguna sementara pengguna internet bahasa Ibunda pula berjumlah 192.4 juta pengguna. Kini terdapat lebih daripada 3 juta pengguna internet yang menggunakan bahasa Melayu daripada ribuan lelaman web berbahasa Melayu yang dicipta. Masyarakat Melayu telah menghasilkan istilahistilah dan ragam bahasa mereka sendiri di internet. Maka lahirlah wacana seperti: habaq (apa khabar), dowrang (mereka), kengkawan (kawan-kawan), gi (pergi), bulanz (bulan) dan sayer (saya).
Dari perspektif kata, penggunaan leksikon yang berbudaya secara tidak langsung menanam nilai murni di kalangan penggunanya. Dapat kita rasakan kemuliaan dalam kata-kata seperti ‘maju’, ‘santun’, ‘suci’, ‘budi’, ‘junjung’, ‘mulia’, ‘berjaya’ dan ‘bahagia’. Nilai seumpama ini juga terpantul dalam peribahasa-peribahasa berikut yang menanam unsur motivasi dalam masyarakat: ‘berakit-rakit dahulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian’, ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’, dan ‘kalau tak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya.’ Demikian tingginya nilai peribahasa-peribahasa yang diungkapkan tadi. Sungguh proaktif dan menggalakkan keusahawanan mahupun kecendikiawanan.
Aspek dalaman kemampuan bahasa ini juga dapat dilihat melalui genre-genre asli Melayu seperti pantun, syair, gurindam, teromba, seloka dan lain-lain lagi. Jika diselidiki nilainilai yang ditanamkan dalam bahasa Melayu, kita dapati ia penuh dengan nasihat dan peringatan seperti yang ditonjolkan dalam gurindam berikut:
Dengan bapa jangan derhaka
Supaya Allah tidak murka
Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat
Pembudayaan bahasa Melayu samalah dengan membudayakan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. Pantun pula memancarkan keperibadian bangsa Melayu dalam bentuknya yang unggul; berkias dan bersenda, berseloka dan berjenaka dengan madah yang indah, cendikia dan bijaksana. Malah, disamping keindahan bahasa, pantun mengandungi unsur pengajaran kepada pembaca;
Rendang sungguh pohon ara,
Tumbuh subur tepi telaga;
Tidak salah berkenal mesra,
Tatasusila perlu dijaga.
Pantun merupakan warisan bahasa dan budaya Melayu terunggul. Ia milik orang Melayu dan tiada setanding dengannya. Sehingga dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Quartrain (atau 4 serangkap) seperti juga ‘buah durian’, ‘buah rambutan’ dan ‘orang utan’ yang tiada tandingannya dalam bahasa Inggeris sehingga orang Inggeris terpaksa menyebut seperti yang disebutkan dalam bahasa Melayu.
Syair pula merupakan antara genre yang penuh dengan falsafah untuk menyedarkan kita akan kepentingan kita menggunakan akal dan hati dalam melayari kehidupan ini. Dengan adanya bahasa Melayu, kita berpeluang memahami falsafah yang tinggi ini yang boleh kita jadikan semacam panduan iaitu menggunakan akal dan hati dalam membuat sesuatu keputusan, bukan membenarkan perasaan atau nafsu mengawal pemikiran kita. Sesungguhnya, bahasa pengungkap falsafah ilmu tinggi. Syair berikut menggambarkan:
Kalau kita ditanya orang
Kemudi manusia apakah gerang
Berilah jawab dengannya terang
Akal, akal, akal, akal.
Bahasa Melayu sebenarnya mengungkap fakta selain daripada keindahan. Walaupun bahasa Melayu secara umum sering dikenali sebagai bahasa yang mengungkap keindahan puitis, ia sebenarnya menyampaikan fakta, hukum, peraturan alam dan seumpamanya:
Hidup dikandung adat
Mati dikandung tanah
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi kitab Allah
Teromba di atas membuktikan tentang adanya peraturan alam dalam bahasa dan budaya Melayu yang mengungkap fakta alam dan kewujudan manusia itu sendiri. Yang menarik, ia disampaikan begitu halus dan indah tetapi berpaksikan pesanan yang universal dan boleh dilaksanakan dalam sebarang keadaan. Sesungguhnya, bahasa pengungkap ilmu mutlak.
Pemanfaatan bahasa menjadi penting kerana pembudayaan asing sebenarnya berpotensi membawa kepada pemupusan bahasa jati. Antara contoh perkataan yang sedang mengalami keadaan ini ialah: ‘maklumat’, ‘lampu isyarat’, ‘laporan lalu lintas’, ‘temuduga’, ‘peringkat 4akhir’, ‘ujibakat’, ‘hasil’, ‘takrif’, ‘mantap’, dan ‘swasta’. Semuanya semakin hilang ditelan zaman kerana tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan: ‘lampu trafik’, ‘laporan trafik’, ‘interviu’, ‘final’, ‘audisi’, ‘produk’, ‘stabil’, dan ‘privet’.
Bahasa yang tidak dimanfaatkan akan menyebabkan dunia membuat salah tafsir mengenai satu bangsa yang dinamakan Melayu. Biasanya, pinjaman bahasa asing seperti bahasa Inggeris dilakukan jika kita tidak mempunyai kosa kata bagi sesuatu barangan atau keadaan yang bukan milik kita, misalnya ‘komputer’. Maka dunia tahu bahawa ‘komputer’ bukan milik Melayu maka tidak salah meminjam daripada perkataan Inggeris yang berbunyi computer. Namun demikian, menukar kata ‘maklumat’ kepada ‘informasi’, mungkin menimbulkan prasangka dalam masa 10-20 tahun akan datang bahawa orang Melayu merupakan bangsa yang tidak mempunyai ‘maklumat’ (bebal) sehingga mereka terpaksa meminjam perkataan Inggeris information yang kini dengan megah mereka gunakan sebagai ‘informasi’. Maka setiap komponen bahasa wajar dimanfaatkan sepenuhnya bukan dibiarkan hingga pupus.
3.0 Bahasa dan Sumber Intelektual Peribumi
Dalam usaha mencapai kecemerlangan kemanusiaan ini, bahasa merupakan mangkin intelektualisme manusia yang sewajarnya dimanfaatkan untuk mereka cipta sumber asli yang bakal memajukan bangsa serumpun, sepertimana terbukti dengan bangsa-bangsa Asia lain seperti Cina, India dan Jepun yang telah lama memanfaatkan sumber peribumi masing-masing.
Cina memanfaatkan kecekapan para pekerjanya dalam menghasilkan barangan dalam jumlah yang banyak dengan harga yang rendah sehinggakan negara-negara barat menggunakannya sebagai tempat penghasilan produk-produk mereka demi penjimatan kos. Rata-rata banyak barangan di dunia ini akan mempunyai label “Made in China”, walaupun ia memegang jenama barat seperti ‘Matchbox’, ‘Hotwheels’, ‘Disney’, ‘Barbie’, dan lain-lain lagi. Cina telah berjaya memanfaatkan mekanisme sumber peribumi mereka untuk menjadi pusat pengeluaran terbesar dan termurah dunia.
India pula berjaya menjadi pusat pengeluaran cendikiawan teknologi maklumat sehinggakan para tenaga kerja IT (Teknologi Maklumat) mereka menjadi tumpuan syarikat-syarikat utama bidang elektronik di merata dunia. Silicon Valley kini menghasilkan ramai jutawan India. Malahan, berkat daripada kemajuan dalam bidang ini, negera India, yang pada suatu masa dahulu terkenal dengan kemiskinan dan kemelaratan, kini mempunyai jumlah rakyat kelas pertengahan dan atasan yang semakin meningkat. Negara India telah berhasil menggunakan teknologinya untuk memanfaatkan sumber peribuminya dalam bidang aero-angkasa khususnya untuk melahirkan pakar IT sehingga menjadi pengeluar terbesar dan termurah dunia bagi kepakaran dalam bidang tersebut. Negara yang suatu masa dahulu dikecam kerana melabur dalam pembangunan roket sedangkan rakyatnya dalam kemiskinan, kini meraih keuntungan daripada pelaburan tersebut yang memanfaatkan rakyatnya di mata dunia. Di Silicon Valley (Shobha Tsering Bhalla dlm akhbar Today 27 Julai 2006) kini terdapat lebih daripada 100,000 jutawan Indian dan 20 juta masyarakat India yang menetap di situ.
Jepun merupakan sebuah negara yang bijak menggunakan pendekatan Engage and Expand iaitu ‘ambil, cerakin dan janakan’. Jepun yang pada suatu masa dahulu hancur setelah dibom semasa perang dunia ke-dua, kini menjadi antara negara yang terunggul dalam bidang elektronik dan pembekal kenderaan terbesar Asia. Ini berlaku kerana Jepun berjaya memanfaatkan sumber peribumi untuk kegunaan dunia. Jepun telah menyesuaikan bahan-bahan yang dikeluarkan barat untuk kegunaan Asia dan Asia Tenggara. Mereka menggunakan teknologi barat yang disesuaikan dengan teknologi peribumi untuk menghasilkan produk-produk yang lebih murah, berkualiti dan sesuai dengan hawa dan cita rasa Asia. Dari perspektif teknologi, Jepun merupakan negara Asia yang sangat maju dengan prasarana peribumi yang membantunya dalam menghasilkan teknologi yang memberi kesan kepada dunia.
Satu daripada teknologi peribumi Jepun ialah menghasilkan lapangan terbang di atas pulau buatan manusia berdekatan dengan pulau Kobe yang mampu tahan gegaran bumi akibat gempa, dengan menggunakan sistem tiang yang mudah diubah mengikut keadaan (adjustable column) untuk menyokong bangunan terminal itu. Lapangan terbang ini (Wikipedia) juga mempunyai bumbung yang berombak-ombak seperti sayap atau layar yang membenarkan angin untuk meluncur di atasnya sekaligus menyumbang kepada pengudaraan lapangan terbang tersebut yang terletak di kawasan yang mendak. Bumbung ini dihasilkan setelah memerhatikan badan ikan lumba-lumba dan cara ia bergerak. Lapangan terbang Kansai ini mengambil masa 20 tahun dalam perancangan dan 3 tahun untuk disiapkan. Pada tahun 2001, lapangan terbang ini menjadi salah satu daripada 10 struktur yang dianugerahi "Civil Engineering Monument of the Millennium" oleh The American Society of Civil Engineers.
3.1 Teknologi Kreatif (Anime)
Jepun tidak hanya puas dengan pencapaiannya setakat pasca perang dunia ke-dua. Kini Jepun menjangka zaman neo-teknologi dengan melabur dalam dunia animasi dalam bentuk komik dan filem dalam usaha melestarikan, memartabatkan dan membudayakan budaya dan citra Jepun kepada dunia agar terus kekal dan relevan. Komik-komik ini berkembang ke dalam bentuk novel grafik dan filem yang dikenali sebagai “anime”. Komik ini menghasilkan animasi yang dikenali sebagai “Manga” iaitu sejenis buku komik dewasa, atau filem animasi dalam gaya yang sama. Rata-rata watak dalam komik ini mempunyai ciri-ciri unik dari segi perawakan dan pakaian mereka. “Manga” begitu terkenal di seluruh dunia sehingga ia dialihbahasa ke dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu serta mendapat penyebaran tontonan di seluruh dunia. “Manga” juga begitu berpengaruh sehingga ia dimasukkan ke dalam kamus Inggeris seperti Times Chambers Combined Dictionary Thesaurus. Malahan komik-komik tersebut kini dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu dan mudah didapati di kedai-kedai buku di Malaysia. Berikut merupakan beberapa contoh komik dan animasi kontemporari Jepun yang mendapat pasaran dunia:
Komik: Detective Conan, Ranma, Bleach, Nurato, Slamdunk, Voices of A Distance Star, Beyblade, Fullmetal Alchemist, Fruits Basket, Vampire Night, Tsubasa, The Mythical Detective Loki, Love Hina, Magister Negi Magi, X Clamp, Ragnarok in to the Abyss, Evangelion Neon Genesis, My Fair Lady, Blood Trinity, Initial D, Digimon, Sakura, Is, Hunter X, Gundam Seed, Eyeshield 21, Ultimate Muscle, Whistle, The Prince of Tennis, Hikaru Nogo, One Piece, Dragon Ball Z, Yugi-Oh!, Shaman King, Yuyi Hakashi, Twelve Kingdoms, Kingdom of Hearts, Pokemon, Zatch Bell, Inuyasha, dan Get Backers.
Komik dalam bentuk Novel Grafik: Bleach, Voices of A Distance Star, Fullmetal Alchemist, Magister Negi Magi, Is, Hunter X, Eyeshield 21, Ultimate Muscle, Whistle, The Prince of Tennis, Hikaru Nogo, Yuyi Hakashi, Twelve Kingdoms, Inuyasha, dan Get Backers.
Dari Komik ke Animasi: Detective Conan, Bleach, Nurato, Voices of A Distance Star, Beyblade, Fullmetal Alchemist, Initial D, Digimon, Sakura, 6Gundam Seed, The Prince of Tennis, One Piece, Dragon Ball Z, Yugi-Oh!, Shaman King, Pokemon, Zatch Bell, Digimon, Inuyasha, dan Get Backers.
Penelitian terhadap komik-komik ini mendedahkan bahawa komik-komik ini menarik minat pembaca kerana ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia yang diadun semula dalam bentuk yang segar dan sesuai dengan cita rasa masa kini. Di dalam komik-komik ini terdapat aspek pergaduhan, jenayah, hantu, percintaan, komedi dan sebagainya. Komik ini juga menepati keperluan pembaca. Terdapat komik yang bersifat hobi seperti dalam lumba kereta dan permainan kad (Rockman Exe, Digimon, Beyblade), bersifat lucu (Ranma), bersifat binatang kesayangan (Hello Kitty, Tiki Yizi, Muffy, Hamtaro), dan bersifat penyiasatan (Conan). Lebih menarik lagi, Jepun telah memulakan langkah pertama memodenkan permainan tradisional seperti gasing sehingga menjadi sebuah permainan moden antarabangsa iaitu Beyblade lengkap dengan komik dan kartunnya sekali. Selain itu, terdapat juga konsep klasik samurai yang diperbaharui dengan menggunakan watak budak zaman ini dalam komik Bleach. Manakala komik Pokemon memperbaharui permainan damar yang mempunyai berbagai bentuk dan corak binatang, serangga dan lain-lain lagi.
Dalam haluan neo-teknologi ini, Cina juga tidak ketinggalan, malahan mereka lebih agresif lagi dalam memartabatkan budaya dan citra mereka kepada dunia dengan menghasilkan animasi-animasi Cina dalam bahasa Inggeris berlatarkan negara barat. Ini merupakan produk masyarakat Cina yang kini bermastautin di negara-negara barat seperti Amerika. Demi memastikan bahawa anak-anak dan remaja Cina tidak hilang jati diri mereka, maka animasi sedemikian dihasilkan yang juga dapat dimanfaatkan sedunia. Antara animasi Cina yang dihasilkan ialah: American Dragon, Life and Times of Juniper Lee, Legend of the Dragon, Tomato Twins, dan Shoalin Showdown.
Jepun dan Cina bukan setakat menghasilkan bahan-bahan animasi, mereka juga menghasilkan permainan siber, barangan permainan dan koleksi yang bermotifkan watak-watak dalam animasi yang mereka hasilkan. Ini bermakna animasi yang dihasilkan itu juga dapat menjanakan lebih banyak keuntungan dari segi pulangan kewangan. Ini membuktikan sumber peribumi mempunyai nilai ekonomi dan potensi pasaran antarabangsa jika diusahakan dengan teknologi yang sesuai. Malahan komik yang mereka hasilkan begitu popular sehingga diadakan anugerah yang dikenali sebagai “Annual Shogakukan Manga Awards”.
Penelitian yang dilakukan juga menghasilkan beberapa rumusan terhadap fenomena kemampuan komik-komik Asia ini menjadi terkenal atau menarik perhatian pembacanya. Antaranya ialah:
i. dialihbahasa kepada banyak bahasa lain
ii. banyak tema yang berbeza sesuai dengan cita rasa yang pelbagai
iii. dijadikan bahan filem antarabangsa
iv. dijadikan siri dalam televisyen
v. dijadikan bahan permainan
vi. keseniannya menarik dengan lukisan yang segar
vii. watak-watak yang asli dan hidup
viii. memodenkan bahan-bahan tradisional
ix. kreatif dari segi seni reka fesyen termasuk kasut, dan alat solek sehingga menjadi fashion statement
Pengalaman seumpama ini wajar dicontohi masyarakat Melayu Nusantara dan diambil peduli akan perkembangannya kerana ia telah terbukti berkesan. Kini tiba masanya, rakyat Nusantara mengambil initiatif untuk menggembling tenaga dan kepakaran dalam menghasilkan produk-produk neo-teknologi memandangkan ia adalah trend kontemporari. Masyarakat Melayu generasi muda zaman ini dahagakan sumber yang menarik dan selaras dengan dunia siber. Komik dan animasi yang dibincangkan tadi boleh wujud dalam semua dataran sama ada dalam bentuk bercetak, filem mahupun komputer atau alam siber. Maka ia boleh diakses dengan mudah mengikut cita rasa pengguna dengan berkesan.
Pada masa kini, jumlah animasi dan buku komik yang dihasilkan dalam bahasa Melayu agak sedikit. Rata-rata ia lebih bersifat kisah-kisah penglipur lara atau sastera rakyat dalam bentuk lama dan kurang inovasi. Maka ia kurang sesuai dengan cita rasa kanak-kanak dan remaja zaman ini. Ini boleh diperbaiki dengan mendapatkan suntingan idea baru ke dalam animasi Melayu. Jika kita tontoni animasi Cina berjudul “American Dragon”, ia merupakan kisah seorang budak Cina yang mempunyai kuasa untuk berubah menjadi seekor naga dalam memerangi kejahatan di Amerika. Pereka animasi ini menghidupkan alam pertahanan diri Cina di Amerika lengkap dengan kepercayaan-kepercayaan Cina dan budaya pertahanan diri Cina yang diolah secara mudah dan menyeronokkan kanak-kanak dan remaja mahupun dewasa. Daripada animasi ini, penonton dapat mempelajari budaya timur dengan lebih menarik selain menanam jati diri bangsa.
Masyarakat Cina di Malaysia (Tay Shi’an dlm The New Paper, 24 Februari 2007) pula telah menghasilkan komik dengan menggunakan kartun ataupun animasi untuk memecahkan tembelang para dukun Cina yang sering menyalahgunakan kepercayaan pelanggan mereka. Buku ini telah diterbitkan oleh Biro Persatuan Agama Cina dan Persatuan Federasi Taois Malaysia. Kini penganut agama Taois melalui Federasi Taois di Singapura juga telah mengambil initiatif untuk menghasilkan sebuah buku kecil yang mengumpul segenap perilaku salah dukun-dukun Cina dan diilustrasikan dengan menggunakan kartun agar lebih mudah difahami dan menarik pembaca. Dengan membaca buku ini, orang ramai akan tahu tentang dukun-dukun palsu yang cuba mengambil kesempatan daripada para pesakit. Keperihatinan terhadap isu ini timbul kerana semakin banyak aduan yang diterima mengenai dukun-dukun Cina yang palsu atau yang menyalahguna kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Demi memelihara kemaslahatan para penganut mereka dan menjaga nama baik agama Taois daripada dicemari perilaku sedemikian, satu pasukan terdiri daripada 10 orang sami, ketua kuil, dan wakil federasi akan sama-sama berusaha menghasilkan buku kecil tersebut.
Jepun pula telah membawa dunia kartun mereka ke tahap lebih global dalam ubungan antarabangsa. Kartun telah digunakan untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan dunia mengenai penglibatan tentera Jepun di Iraq. Jepun mula menghasilkan kartun-kartun comel sebagai maskot tentera (Associated Press). Tujuannya ialah meletakkan citra tentera Jepun yang lembut dan tidak merbahaya memandangkan Jepun pernah menjadi kuasa ganas semasa perang dunia ke-dua dahulu.
Teknologi seumpama ini boleh dimanfaatkan masyarakat Melayu dalam membangunkan prasarana luas dalam mengembangkan pengaruh bahasa dan budaya Melayu memandangkan bahasa Melayu sebenarnya cukup kreatif (Hassan Ahmad, 2003) melalui metafora dan metonimi Melayu. Satu cara kreatif yang dilakukan oleh orang-orang Melayu ialah melakukan kritikan sosial secara terselindung melalui perumpamaan, peribahasa dan lain-lain jenis simpulan bahasa. Ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu sudah mempunyai kreativiti dan pemikiran kritikal.
Hanapi Dollah (Hashim Awang A.R, 1998:249-255) pula memberikan gambaran menarik mengenai ciri-ciri proaktif iaitu dalam bidang matematik yang ada dalam cerita-cerita jenaka klasik Melayu. Menurutnya, Mat Jenin adalah sebuah kisah ilmu kira-kira yang mudah. Ceritanya dari awal hingga akhir adalah tentang kira-kira dan beliau mati kerana pengiraan tersebut. Pak Kadok pula adalah yang mempunyai firasat. Dia percaya kepada tanda-tanda yang dimiliki oleh ayam sabungnya yang bernama si Kunani yang berwarna biring itu adalah seekor ayam laga yang sangat bertuah. Akhirnya tanahnya tergadai. Manakala Pak Belalang menjadi penenung nasib palsu. Penujuman juga adalah sejenis permainan matematik. Pak Pandir merupakan seorang yang bodoh, dungu, tolol, tonggong, sial bedebah, serba tak tahu dan selalu disumpahi isterinya Mak Andeh supaya mati bangat dan dimakan harimau panjang tujuh, ataupun buaya sembilan. Namun demikian, di dalamnya terdapat kisah penambahan, perbandingan dan arah. Lebai Malang pula mempamerkan kisah perjalanan dan waktu yang dapat dilihat dalam kisahnya dijemput untuk tiga kenduri yang berasingan. Walaubagaimanapun, beliau gagal menghadiri kesemuanya kerana beliau sibuk menimbangkan mahu ke majlis mana terlebih dahulu. Kini tiba masanya difikirkan bagaimana hendak mengubah kreativiti tersebut agar memanfaatkan pembangunan peradaban Melayu hari ini dan masa akan datang.
Ini bermakna, hikayat dan kisah-kisah klasik Melayu perlu dimodenkan agar ia mendapat pasaran dunia kerana sesuai dengan cita rasa masa kini. Sebenarnya, masyarakat Melayu telah pun mempunyai komik dan animasi yang menyentuh kisah-kisah klasik seperti cerita-cerita binatang, misalnya. Namun demikian, ia tidak dikembangkan agar relevan pada masa kini. Akibatnya, ia semakin kurang mendapat perhatian kanak-kanak dan remaja zaman ini yang makin tertarik dengan bahan-bahan luar negara yang dibincangkan tadi. Percubaan filem ‘Cicak Man’ yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini, merupakan satu initiatif yang baik kerana ia merupakan percubaan pertama yang agak mirip dengan filem antarabangsa. Sekiranya, ‘Cicak Man’ dapat dijadikan komik dan disebarluaskan, kemudian diikuti dengan animasi, tentu ia boleh menjadi produk Nusantara pertama yang mendapat perhatian dan pasaran luas.
Satu percubaan oleh syarikat SNP Panpac (M) Sdn Bhd. dalam menghasilkan sebuah komik sambil belajar bagi matapelajaran Sejarah merupakan satu inovasi yang sangat dialualukan. Syarikat ini telah menyesuaikan sukatan pelajaran baru bagi matapelajaran tersebut dengan menggunakan komik sebagai bahan cerita dalam buku panduan tersebut. Ia amat menarik dengan watak-watak pahlawan Melayu dan kerajaan Melayu yang dilukiskan dengan realistik. Ia memudahkan pembelajaran dan menyeronokkan. Dua bahan ikonik Malaysia, Komik ‘Lat’ yang telah mencapai taraf antarabangsa dari segi penyebarannya dan komik ‘Keluang Man’ wajar dinilai semula penampilannya dan disesuaikan bagi audien zaman ini. Komik ‘Keluang Man’ adalah berdasarkan watak animasi ‘Keluang Man’ yang muncul dikaca televisyen tempatan pada tahun 1990-an. Sewajarnya, dengan pendedahan dalam dua genre iaitu komik dan televisyen, watak ‘Keluang Man’ seharusnya mencapai tahap penerimaan yang luas. Komik Malaysia berjudul ‘Raihan Rangerz’ pula merupakan satu pembaharuan yang menarik dalam animasi komik kontemporari. Ia memerikan penampilan yang lebih moden dengan watak-watak superhero yang terkini. Maka dengan menggunakan teknologi baru dan penampilan baru, watak-watak seumpama ini dapat dihidupkan kembali dan dimasyarakatkan.
Menyentuh perihal animasi, watak-watak binatang yang digunakan dalam animasi Jepun dan Cina banyak dipengaruhi oleh kewujudan mistikal seperti naga, halilintar, binatang yang dimutasikan dan sebagainya. Watak-watak seumpama ini juga wujud dalam cerita-cerita binatang Melayu seperti pelanduk, gajah, lembu, anjing, ular dan naga. Begitu juga dengan watak-watak manusia yang mempunyai kuasa ajaib. Kesaktian dalam sastera tradisional merupakan antara ciri utama kesusasteraan tradisional (Rahimah Hamdan dalam Hashim Awang A.R, 1998:161-175).
Gajah sering terdapat dalam karya histografi Melayu tradisional. Ia berfungsi sebagai penjejak jurai keturunan diraja dan penjaga kanak-kanak yang bakal menjadi pemerintah sesuatu kerajaan. Ini dapat dilihat dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ yang menonjolkan Gajah Bujang Sekalis ditemui bersama-sama dengan kanak-kanak lelaki Raja Ahmad yang dinamakan Merah Gajah. Dalam ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ terdapat Gajah Gemala Johari yang bertanggungjawab mencari jurai keturunan Raja Kedah setelah Raja Bersiung menghilangkan diri. Seekor lembu putih, dalam ‘Sejarah Melayu’, digunakan oleh anak-anak Raja Suran untuk turun ke Bukit Seguntang Mahameru daripada laut. Dalam ‘Hikayat Banjar’ pula, anak Dayang Diparaja tidak mahu minum susu ibunya sendirinya sebaliknya mengidam susu lembu putih.
Dalam ‘Sejarah Melayu’, juga digambarkan peristiwa anjing dan pelanduk yang membawa kepada pemilihan tempat bagi negara Melaka. ‘Salasiah Kutai’ merakamkan kisah Babu Jaruma menemui seekor ular yang besar di alang rumahnya. Setelah dibuat tangga, ular tersebut turun ke Sungai Mahakam dan mengeluarkan buih yang banyak. Daripada buih tersebut muncullah seorang bayi di atas gong leper yang dinamakan Puteri Junjung Buih. Manakala ‘Hikayat Banjar’ memerikan Raden Galuh Ciptasari yang diambil oleh dua ekor naga atas arahan Betara Gangga untuk dibawa kepada Lambung Mangkurat yang sedang dalam bertapaan.
‘Hikayat Raja Pasai’ menceritakan bagaimana Raja Muhammad menemui seorang kanak-kanak perempuan dari rebung buluh betung ketika baginda merebas rumput di Semerlangga. Manakala Hikayat ‘Merong Mahawangsa’ pula menyatakan bagaimana Raja Ong Mahapudisat menjumpai budak lelaki daripada ruas buluh yang luar biasa besarnya. Baginda menyimpan buluh tersebut di tepi katil. Lama-kelamaan buluh itu pecah dan keluar kanak-kanak lelaki yang dinamai Raja Buluh Betung. Manakala ‘Hikayat Banjar’ memperlihatkan Pengeran Suryanata menaiki naga dari laut untuk turun ke bumi. Laut merupakan wadah kemunculan anak-anak raja dengan binatang kenderaan mereka yang menakjubkan.
Selain itu, masyarakat Melayu juga kaya dengan mentera (Haron Daud, 1994:81-82). Mentera-mentera ini pula menunjukkan masyarakat mempunyai pemikiran yang mendalam tentang unsur-unsur spirit, makhluk halus dan alam nyata sekaligus memperlihatkan kepercayaan mereka. Nampaknya tidak ada sumber atau genre lain yang dapat memberi gambaran tentang masyarakat selengkap mentera. Justeru, wajar genre mentera diketengahkan untuk bacaan dan pengetahuan umum.
Jelas sekali, hikayat-hikayat Melayu mahupun cerita-cerita panji dan mentera penuh dengan watak-watak seumpama ini yang boleh dianimasikan untuk penghayatan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa hari ini. Kisah-kisah mistikal dan tahyul di dalam hikayat wajar dihidupkan semula dalam lanskap yang baru agar ia mendapat perhatian sekali gus memanfaatkan bahasa Melayu. Hakikatnya, kajian membuktikan bahawa; “secara persis dapat dikatakan pembentukan sahsiah diri tokoh di dalam cerita-cerita panji dipengaruhi pembelajaran, pengetahuan, pengalaman warisan, suasana, interaksi sosial dan sebagainya.” (Noriah, 1995:160). Ini bermakna bahawa cerita-cerita tersebut membawa sama nilai masyarakatnya pada zaman ia dihasilkan sekali gus menanam jati diri pembacanya.
3.2 Teknologi Siber
Teknologi siber merupakan perkembangan yang sangat dinamik dan merubah lanskap kemanusiaan dari pelbagai segi, khususnya bahasa. Penelitian yang dibuat mendapati bahawa perkembangan dalam dunia teknologi maklumat telah menyebabkan lahirnya banyak istilahistilah baru dalam bahasa Melayu.
Kajian terhadap pragmatik bahasa Melayu di alam siber pula mendapati bahawa stilahistilah baru yang terhasil boleh didapati dalam dua bentuk iaitu formal dan tidak formal. Pendekatan yang formal merujuk kepada istilah yang dihasilkan oleh penguasa bahasa seperti, Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia yang bertanggungjawab dalam perkembangan korpus bahasa Melayu di Malaysia. Selain itu terdapat juga istilah-istilah yang dipersetujui dan diiktiraf oleh MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia). Istilah yang dihasilkan oleh badan-badan tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah dari segi pencemaran bahasa memandangkan ia dilakukan oleh sekumpulan pakar dalam peristilahan.
Pendekatan yang tidak formal pula merujuk kepada kelahiran bahasa maya atau internet yang dihasilkan oleh para pengguna alam elektronik itu sendiri. Mereka sewenang-wenangnya memanipulasikan bahasa untuk kemudahan komunikasi dan menambahkan variasi dalam komunikasi di alam siber. Manipulasi bahasa dilakukan sewenang-wenangnya sehingga ia menjadi wacana yang terbiasa dan diterima konvensi. Proses evolusi bahasa siber ini dapat dilihat secara berperingkat-peringkat.
Pada tahap permulaan berlaku pemendekan istilah yang masih mudah difahami seperti tak (tidak), saja (sahaja), duk (duduk), gini (begini), gitu (begitu), mau (mahu) dan reti (mengerti). Pada tahap pertengahan pula berlaku penyerapan kata-kata kepada bahasa lisan seperti digunakan dalam perbualan biasa misalnya amik (ambil), antar (hantar), bace (baca), mane (mana), same (sama), kecik (kecil), ape (apa) dan hotak (otak.). Perkembangan selanjutnya memaparkan pemelatan kata-kata mungkin dengan tujuan memeriahkan suasana perbualan atau sekadar manambahkan kemesraan, misalnya caye (percaya), camni (macam ini), camtu (macam itu), teypon (telefon), keng-kawan (kawan-kawan), cedap (sedap), amik atti (ambil hati), pompan(perempuan) dan mepek (merepek).
Kemudian lahir kata-kata bersifat irama seperti seryuz (serius), lepaz (lepas), wajibz (wajib), sayer (saya), biler (bila), kiter (kita), jumper (jumpa), luper (lupa) dan nyer (nya). Proses pelahiran istlah internet bahasa Melayu mencapai kematangan apabila istilah spesifik berputik seperti om (orang), ngan (dengan), je (sahaja), ur (awak), lak (pula), kerker (ketawa kecil), hmmm (sedang berfikir) dan ha x 9999999 (ketawa terbahak-bahak). Akhir sekali lahir penggunaan simbol-simbol seperti :) atau ☺ (mimik muka senyuman), :( atau / (mimik muka sedih / masam), :P (mimik muka yang mengejek), :))) (mimik muka sedang ketawa), :O (mimik muka terkejut) dan n (menandakan berakhirnya perbualan).
Keadaan ini berlaku dalam semua genre yang dibincangkan. Malah, lebih padat lagi di SMS (short Message System) dan MMS (Message Multi-Media) memandangkan kedua-duanya mempunyai tingkap maklumat yang kecil dan terhad dari segi keluasan. Bahasa secara umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu bahasa yang bersifat normatif dan komunikatif. Bahasa normative merujuk kepada bahasa yang mengikut peraturan bahasa secara formal. Bahasa jenis ini sering digunakan di sekolah-sekolah dan majlis-majlis rasmi atau dikenali sebagai bahasa baku. Bahasa baku pula meliputi bahasa pertuturan dan penulisan yang dianggap gramatis dari sudut linguistik. Bahasa komunikatif pula merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau lebih dikenali sebagai bahasa percakapan. Bahasa jenis ini biasanya tidak mengikut tatabahasa kerana sifatnya yang spontan. Ayat-ayat yang dihasilkan sering mengalami manipulasi bahasa.
Manipulasi merujuk kepada penggunaan bahasa secara kreatif. Maka terhasil ayat-ayat pendek dan istilah-istilah yang menyimpang daripada tatabahasa. Misalnya ayat; "dah makan belum?", "ndak", "pegilah" dan sebagainya. Faktor utama yang membenarkan ayat dan istilah tersebut digunakan ialah penerimaan komuniti berbahasa itu berlandaskan keupayaan untuk menyampaikan dan memahami mesej yang cuba diutarakan. Konsep ini secara tidak langsung menjelaskan kelahiran dialek, laras bahasa, loghat dan slanga.
Penggunaan bahasa Melayu di internet terbahagi kepada beberapa komponen iaitu email, chat dan leleman web. Chat terbahagi kepada tiga jenis iaitu IRC (Internet Relay Chat), ICQ (I Seek You) dan MSN (Microsoft Network) yang menggunakan emoticons atau ikon-ikon emosi. Emel dan chat menggunakan bahasa komunikatif sahaja. Ikon-ikon emosi merujuk kepada ilustrasi yang menunjukkan perasaan pengguna misalnya, riak wajah marah, sedih, gembira, tersenyum, bunga ros dan jantung. Ikon-ikon ini juga merupakan wahana penyampai maksud atau bahasa di internet yang bersifat pictographic atau ideagrahic. Lelaman web pula terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu hiburan dan intelektual. Biasanya bahagian intelektual seperti bahasa dan kesusasteraan menggunakan bahasa normatif manakala bahagian hiburan menggunakan bahasa normatif bagi segmen informasi dan bahasa komunikatif bagi segmen interaktif.
Pengklasifikasian di atas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa di internet yang bersifat umum seperti pemberian maklumat lebih cenderung kepada bahasa normatif untuk mengelakkan kekaburan dan salah tafsir. Manakala penggunaan bahasa yang bersifat peribadi atau persendirian seperti di emel dan chat bersifat komunikatif. Keadaaan ini berlaku kerana adanya komuniti maya yang memahami antara satu sama lain akan bahasa yang digunakan. Latarbelakang ini menjadi penjelasan kepada perkembangan dan pembangunan bahasa Melayu di internet. Kini telah lahir laras internet bagi bahasa Melayu di internet. Menurut Fishman, seorang ahli sosiolingusitik, laras ialah lingkungan institusional iaitu apabila sesuatu ragam yang digunakan oleh seseorang yang dianggap lebih sesuai daripada ragam bahasa yang lain. Laras internet ini merupakan gabungan bahasa tulisan dan lisan. Internet telah berjaya menyatukan ataupun menggramatiskan bentuk bahasa Melayu yang dianggap tidak gramatis. Penjelasan di atas tadi menunjukkan bahawa bahasa jenis normatif digunakan untuk penulisan sementara bahasa komunikatif digunakan untuk lisan atau percakapan. Laras internet pula merupakan perealisasian keserasian kesatuan bahasa lisan dan tulisan dalam bentuk visual. Ini bermaksud sesuatu yang dahulunya hanya dapat ditutur, kemudian didengar dan hilang kini apat dilihat dan disimpan. Bentuk lisan kini direalisasikan dalam bentuk tulisan tanpa enurut tatabahasa bentuk penulisan.
Dalam konteks alam siber, bahasa telah memanfaatkan teknologi iaitu bahasa Melayu mengambil kesempatan daripada ciri-ciri teknologi internet untuk mengalami satu evolusi kepada bentuk baru yang lebih menarik dan sesuai dengan cita rasa alam siber masa kini. Bentuk-bentuk yang dijelaskan di atas menunjukkan kemampuan dan keupayaan bahasa Melayu untuk terus wujud dan terus berkembang biak dalam alam siber tanpa menggugat prestasinya sebagai alat perhubungan sesama penutur bahasa Melayu. Proses ini secara tidak langsung juga menonjolkan sikap penutur Melayu yang memanfaatkan bahasa Melayu untuk alam siber melalui manipulasi dan eksploitasi bahasa dalam usaha menyampaikan maksud dan harapan mereka di alam siber.
Sukaryditisna (1962) menjelaskan bahawa penutur akan menggunakan bahasa umum (bahasa rasmi) apabila berbicara mengenai perkara-perkara politik, kejuruteraan, teknologi dan seumpamanya manakala bahasa ibu akan digunakan untuk berbicara mengenai perkara-perkara budaya, adat dan agama atau bersembang-sembang dengan kelompok daerahnya.Perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu masih relevan dan bermanfaat di alam siber.Blog juga merupakan satu trend terkini dan semakin mendapat perhatian dan komitmen ramai khususnya generasi muda yang menggunakannya sebagai ruang untuk mendokumentasikan riwayat hidup mereka lengkap dengan pengalaman, gambar dan komentar bebas. Ia bersifat dairi elektronik. Ruangan seumpama ini juga masih menggunakan bahasa Melayu internet. Ia sangat menarik kerana ia memberikan gambaran bahawa generasi masa kini masih berkiblatkan bahasa Melayu di ruang siber. Teknologi blog juga digunakan untuk memanfatkan sumber intelektual peribumi dengan menjadi wadah menyebarluaskan maklumat dalam bentuk komentar, ulasan, dan pandangan mengenai sesuatu bahan sama ada bahan persuratan kreatif mahupun kritikal.
Blog merupakan wadah yang mempunyai potensi untuk menyebarluaskan pengaruh bahasa dan bangsa Melayu di alam siber dan alam realiti. Satu dapatan menarik daripada kajian yang dilakukan membuktikan bahawa kini alam realiti sudah bergabung dengan alam siber dengan lahirnya blog dan video serta audio dalam talian. Ini berlaku kerana semua kegiatan, pengalaman dan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan kehidupan dan kewujudan manusia itu sendiri termasuk hal-hal dan perlakuan peribadi sekalipun kini terakam di dalam alam siber seperti blog, misalnya, tanpa sekatan atau tapisan. Blog merupakan antara wadah yang memecah tembok siber kepada alam realiti. Ruang antara alam siber dan alam realiti semakin mengecil dengan lebih daripada 200,000 blog yang dihasilkan setiap hari dan dianggarkan 100 juta (Alfred Siew dlm The New Paper, 20/02/07) blog akan dihasilkan pada penghujung tahun ini.
Dengan ledakan teknologi maklumat, bahasa Melayu memanfaatkan teknologi untuk mendapatkan wajah baru yang lebih humanistik. Teknologi telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menyesuaikan kewujudannya dalam alam siber tanpa menjejas citra dalamannya yang penuh dengan hati budi – Laras internet memantulkan nadi bahasa Melayu anakala blog menyimpan segenap khazanah budaya bahasa dan bangsa Melayu sebagai dokumen masa depan.
3.3 Teknologi Terapi Psikologi
Perkembangan sains dan teknologi membawa kepada satu corak penemuan dalam bidang perubatan jiwa. Kajian dan pemerhatian yang dijalankan menunjukkan bahawa sains pembacaan kini boleh diperkemaskan menjadi teknologi terapi. Sumber intelektual peribumi merupakan antara bahan terbaik dan terunggul dalam membangunkan satu sistem terapi untuk membantu meleraikan atau sekurang-kurangnya meringankan bebanan masalah psikologi manusia melalui sejenis terapi yang dikenali sebagai bibilioterapi, iaitu terapi dengan menggunakan bahan-bahan intelektual terutama sekali karya persuratan yang dihasilkan oleh para penulis jati dalam sesebuah negara.
Pendekatan ini merupakan pengaplikasian yang mempunyai rekod berkurun lamanya. Masyarakat kuno Yunani, misalnya, mengumumkan kuasa persuratan sebagai bahan terapi dengan memahatkan papan tanda di atas perpustakaan mereka yang mempunyai catatan yang berbunyi: “tempat untuk mengubati jiwa” (Zaccaria & Moses, 1968).
Usaha pertama dalam menggunakan biblioterapi ini sebagai teknik intervention atau campur tangan ini dirakamkan pada tahun 1840. Namun demikian, istilah biblioterapi ini mula digunakan pada tahun 1916 di dalam sebuah artikel untuk menerangkan proses memberikan buku kepada para pesakit yang memerlukan bantuan untuk memahami masalah mereka (Crothers, 1916). Asalnya, biblioterapi digunakan untuk mengubati masalah emosi di kalangan orang dewasa (Ouzts, 1991). Pada separuh kurun ke 19, latarbelakang teori dan pengaplikasian biblioterapi telah berkembang dengan pesatnya. Kini ia dianggap sebagai satu strategi yang membangun yang bukan hanya digunakan masalah klinikal tetapi juga sebagai teknik membantu kanak-kanak menguasai keperluan pembagunan mereka (Pardeck, 1986:i). Dalam teknik ini, kanak-kanak diperlukan membaca mengenai watak yang berjaya mengatasi masalah yang serupa dengan apa yang sedang dialami oleh kanak-kanak itu.
Jika diimbas kembali, biblioterapi ini telah lama digunakan oleh para ulama dan penasihat agama untuk memberi bimbingan spiritual dan kesihatan emosi masyarakat dengan menggunakan kitab-kitab suci agama masing-masing. Begitu juga dengan para ahli psikologi klinikal dan kaunselor sering memberikan bahan dna sumber bacaan untuk membantu mereka yang mempunyai keperluan psikologi. Para doktor juga menyediakan brosur dan buku serta brosur yang mempunyai kajian kes untuk membantu para pesakit meringankan tekanan emosi daripada pembedahan ataupun sesi-sesi perubatan bersama doktor.
Bibilioterapi ini merupakan satu teknologi kontemporari yang boleh dikembangkan secara meluas memandangkan para penulis Melayu telah pun menghasilkan begitu banyak karya-karya dalam pelbagai genre yang menyentuh segala aspek kehidupan dan kewujudan masyarakat seperti: kepimpinan, persahabatan, penderaan, peristiwa, kecurangan, jenayah, salah guna kuasa, agama, bangsa, bahasa, dan sebagainya. Bahan-bahan ini pula bersifat kontemporari dan sentiasa berkembang mengikut perubahan dan keperluan zaman.
Satu kajian terhadap cerpen-cerpen remaja yang dihasilkan sepanjang tahun 1999 dan 2000 di Berita Harian, Singapura, menampilkan sejumlah 46 buah cerpen remaja. Penulis-penulis remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 25 tahun yang sedang mengikuti pendidikan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), maktab rendah, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Politeknik dan Universiti tempatan merupakan golongan yang sangat aktif dalam berkarya. Secara tidak langsung, golongan ini mewakili remaja dalam soal pengalaman, citarasa, keprihatinan dan citacita. Sekiranya kenyataan ini benar, maka golongan remaja sedang dalam dilema memandangkan persoalan yang sering diketengahkan adalah perihal kemelut remaja yang direalisasikan dalam 95% daripada 46 buah cerpen yang diterbitkan. Kemelut ini mengambil bentuk pertengkaran dan penceraian ibubapa; penghinaan dan herdikan; kemunduran akhlak; dan penyesalan.
Persoalan pertengkaran dan penceraian ibubapa merujuk kepada kehancuran rumah tangga dan pribadi seseorang remaja akibat pertengkaran yang sering berlaku antara ibubapa sehingga tiada lagi ketenteraman dalam jiwa remaja itu semasa di rumah. Keadaan ini menjejas prestasi remaja di sekolah dan emosinya juga terganggu sehingga dia sanggup melakukan perkara-perkara terlarang demi mendapatkan perhatian ataupun memberontak. Suasana menjadi lebih buruk lagi apabila berlakunya penceraian dan kehadiran ibu atau bapa tiri. Biasanya penderaan berterusan dan remaja yang menjadi mangsa. Cerpen "Inikah Takdir" karya Nurshimah Hasim (1999), misalnya, menyentuh persoalan ibubapa yang sering bertengkar. Watak remaja iaitu Ila terpaksa menghabiskan masa di luar. Perbuatan ini sering mendapat leteran ibunya. Biasanya pertengkaran akan bermula apabila ayah Ila cuba meredakan kemarahan isterinya itu. Pelajaran Ila juga terganggu. Akhirnya ibubapanya mati dalam satu kemalangan jalanraya. Kesudahan tragis seumpama ini juga berlaku dalam cerpen "Rebah" karya Bibi Yazmin Ahmad Shah (1999). Ia menyentuh masalah yang serupa. Cuma dalam cerpen ini, watak remaja Lia Lyana cuba membunuh dirinya kerana malu kepada jiran dan teman-temannya. Namun kesudahan cerita ini lebih tragis lagi kerana bapanya telah menikam sekaligus membunuh ibu Lia dan dirinya sendiri. Dalam kedua-dua cerpen ini, remaja menjadi anak yatim piatu.
Persoalan penghinaan dan herdikan amat ketara dalam cerpen-cerpen remaja. Perkara ini dilakukan oleh ibubapa terhadap anaknya sendiri ataupun oleh masyarakat terhadap seseorang kerana latarbelakang seperti bekas penagih dadah, penghuni penjara, pelajar bermasalah dan seumpamanya. Sering mereka tidak diterima kembali oleh masyarakat. Keadaan menjadi lebih buruk lagi kerana mereka kerap dikaitkan dengan sesuatu jenayah. Mereka menjadi ikon negatif dalam masyarakat. Cerpen "Dialog antara Dua Insan" karya Mazlee Muharram (1999) menonjolkan remaja yang mengulangi kesalahan menagih dadah dan pencurian walaupun dia sedar akan kesalahan itu. Ismail, penagih tersebut menyalahkan keluarganya dan masyarakat sekeliling kerana terus menghina dan mengherdiknya sehinggakan dia kembali kepada tabiat negatifnya. Cerpen "Kemelut" karya Siti Hajilah Adam (2000) merupakan satu letusan emosi kesan penghinaan dan penderaan yang berpanjangan. Watak 'aku' sering dianiayai dengan makihamun dan pukul-bantai sehingga akhirnya dia membunuh bapa, makcik dan adiknya sendiri. Penghinaan ke atas kedudukan yang tidak setara antara sepasang remaja yang dilamun cinta juga berlaku dalam cerpen "Warkah Terakhir" karya Durrah Ahmad (1999), "Kekasih Ibu, Kekasih Anak" karya S. Anwarul Md Sharif (2000), "Beralah Cinta Hani" karya Buwana Baba (2000) dan "Romeo, Juliet, Rashid dan Anna" karya Hassan Hasaa'ree Ali (2000). Pasangan remaja yang terlibat akhirnya terpaksa berpisah dan merana kesan penghinaan dan penindasan yang berlaku.
Persoalan kemunduran akhlak sering dilaung dalam hampir semua cerpen yang diterbitkan. Kemunduran ini lahir dalam bentuk perlakuan seperti terjebak dalam maksiat, minuman keras, dadah, biadab terhadap ibubapa, pergaulan bebas, cemburu, curang dan seumpamanya. Misalnya dalam cerpen-cerpen "Salah Siapa" karya Djohan Abdul Rahman (1999) dan "Bilik 105" karya Muhammad Hafiz Mohd Said (2000), menonjolkan remaja yang terjebak dalam kanca pelacuran. Cerpen "Salah Siapa" begitu lantang menonjolkan adanya golongan remaja wanita yang sanggup menjual maruah hanya untuk keluar daripada kesempitan hidup masa kini sedangkan mereka masih mempunyai ibubapa yang mampu menanggung mereka. Perkara ini berlaku gara-gara mengikut jejak sahabat yang berkecimpung dalam kancah ini. Materialisme menjadi tuhan kepada mereka sehingga terjualnya maruah. Cerpen "Bilik 105" pula mendedahkan aktiviti remaja lelaki yang menyinggahi ceruk pelacuran kerana ingin mencuba. Akhirnya maksiat menjadi mainan harian mereka. Cerpen "Peristiwa Sabtu Malam" karya Norhafizah Hashim (2000) menyorot kisah remaja yang hidup bebas tanpa sekatan moral; pasangan bertukar ganti, judi, lumba motorsikal dan minuman keras menjadi tagihan. Kehidupan tidak bermoral ini akhirnya menjahanamkan diri apabila ada di antara mereka yang mati ditikam dan kepalanya pecah kerana dipukul oleh kumpulan samseng di Boat Quay, tempat mainan mereka. Cerpen "Penyesalan" karya Nur Mashitah Hosaini (1999) pula mengemukakan remaja yang terlibat dalam pengedaran dadah setelah meninggalkan rumah. Tanpa pendidikan tetapi bertemankan sahabat setia iaitu seorang pengedar dadah, dia telah diajak terlibat sama. Gaya hidupnya juga berubah kepada kemaksiatan.
Persoalan penyesalan merupakan permainan di bibir penulis. Hampir setiap cerpen mempunyai unsur penyesalan di dalamnya. Penyesalan ini biasanya agak terlewat kerana remaja yang telah terlanjur atau terjebak dalam sesuatu kesekitaran negatif mula kembali setelah nasi menjadi bubur. Cerpen "Mamaku Sayang" karya Durrah Ahmad (1999), "Aku Reda" karya Nur Hafizah Aziz (2000), dan "Kemaafan di AidilFitri" karya Sharifah Khadijah Al Joofri (2000) memaparkan kisah remaja-remaja yang menyesal kerana telah menyakiti hati ibubapa mereka kerana perlakuan mereka yang tidak bermoral atau keras hati. Malangnya kesedaran timbul setelah ibu mereka meninggal dunia. Selain itu terdapat pula cerpen yang menyentuh tentang penyesalan akibat pasangan yang curang atau cemburu seperti dalam cerpen "Jangan Tinggal Daku" karya Juhairi Muhd Abd Halim (1999), "Penyesalan" karya Shahidah Ayoob Angulliah (1999), dan "Pertemuan" karya Noor Azean Omar (1999). Unsur penyesalan ini wujud dengan kesedaran agama dalam diri watak-watak yang terlibat.
Secara umum dapat diperhatikan manifestasi unsur negatif dalam diri remaja zaman ini. Keadaan ini kelihatan begitu meruncing kerana keterlibatan para remaja dalam aktiviti-aktiviti kurang sihat yang bertentangan dengan agama dan moral. Satu persoalan yang timbul ialah; adakah penulis kita pada umur yang agak muda lagi telah terlibat dalam aktiviti tersebut atau sekurang-kurangnya wujud dalam kesekitaran tersebut? Persoalan ini dikemukakan berdasarkan kepada hakikat bahawa penulis biasanya menggabungkan pengalaman dan fantasi atau imaginasi dalam penulisan. Faktor pengalaman itu yang amat merunsingkan kerana lebih daripada 95% penulis masih menuntut dan ada juga yang bakal menjadi guru dan siswazah. Sekiranya fantasi atau imaginasi mengatasi pengalaman, maka penulis remaja kita telah sampai kepada satu tahap penulisan yang amat memuaskan. Namun demikian, sekiranya pengalaman yang menjadi tunggak penulisan, maka masyarakat dan remaja itu sendiri sedang dalam dilema. Jawapannya terletak di tangan penulis remaja itu sendiri memandangkan mereka sedar akan kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan manakala cara mengatasi atau mengurangkannya pula terletak dalam karyakarya yang telah dihasilkan.
Penggunaan berkesan sistem biblioterapi ini memerlukan tiga elemen yang penting dan berurutan iaitu; (1) kenalpasti (identification), (2) katarsis (catharsis) dan (3) penghayatan (insight) (Morawski, 1977; Pardeck & Pardeck, 1993; Riordon & Wilson, 1989). ‘Kenalpasti’ melibatkan mengenalpasti pemikiran dan perlakuan orang lain. Pada tahap awal ini, bahan-bahan bercetak mahupun media lain membantu seseorang individu itu melahirkan semacam pertalian dengan watak utama cerita itu, kemudian mendalami kemahiran yang digunakan oleh watak itu untuk mengatasi dilema tertentu secara berkesan dan jaya (Morawski, 1977). ‘Katarsis’ mula berkembang melalui tahap ‘kenalpasti’ tadi. Memahami perasaan watak dan mencari kesamaan akan melahirkan ‘katarsis’ kerana ketegangan emosi seseorang itu dapat diredakan apabila watak itu berjaya mengatasi sesuatu masalah (Doll & Doll, 1977). Setelah meredakan ketegangan emosinya, seseorang itu lebih bersedia untuk mengaplikasikan apa yang mereka pelajari kepada keadaan yang serupa yang sedang mereka hadapi. Proses ini menghasilkan ‘penghayatan’. Colville (1990:35) menerangkan ‘penghayatan’ sebagai “An arrow of the heart”. Ia menjurus kepada masalah seseorang itu lalu membawa masalah itu ke permukaan untuk ditangani.
Dalam sistem biblioterapi, beberapa rumusan akan dibuat daripada karya-karya yang dikaji dan hasilnya akan dikategorikan mengikut tema, persoalan, perutusan, dan pengajaran. Karya-karya yang ada akan diklasifikasikan mengikut kategori tersebut. Ini secara langsung menjadi “pustaka masalah” kerana di dalamnya terkandung sekian banyak pengalaman watakwatak yang boleh dijadikan panduan dan teladan kepada sesiapa sahaja dalam menghadapi sesuatu masalah dan mencari jalan penyelesaiannya mahupun yang ingin menjauhkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah jenayah atau permasalahan. Seseorang yang sedang mengalami sesuatu dilema sekurang-kurangnya akan tahu corak pendekatan yang wajar diambil untuk mengatasi masalahnya setelah mengikuti sesi biblioterapi.
Dalam teknologi ini, sumber intelektual peribumi merupakan bahan utama dan bahasa peribumi merupakan wadah utama kerana kajian (Kamsiah:2000) membuktikan bahawa bahasa Melayu amat sesuai dan sering digunakan oleh para pelajar tersebut untuk perkara-perkara abstrak seperti berdoa, menyampaikan isi hati seperti menunjukkan kemesraan dan kemarahan; dan dalam perhubungan kekeluargaan. Ini merupakan antara cara terbaik memanfaatkan bahasa Melayu sekali gus menonjolkan potensi bahasa tersebut.
4.0 Produk Nusantara
Tamadun sesuatu bangsa adalah berteraskan kebudayaan bangsa itu. Kayanya sesuatu bangsa dengan kebudayaannya, maka agunglah tamadunnnya (Jins Shamsuddin dalam Ismail Hussein, 1995:2184). Dalam usaha memartabatkan tamadun bangsa, aspek utama ialah mengagungkan sumber peribumi. Ini boleh dilakukan dengan merekakan konsep pasaran luas mengikut peringkat. Sebelum budaya Melayu dapat menembusi pasaran antarabangsa, ia perlu terlebih dahulu menembusi pasaran serantau. Satu usaha sama perlu dilakarkan untuk menyatukan semua pemerintah Nusantara agar menerima, menyokong dan mempromosikan segala ciptaan Nusantara tanpa prejudis. Sekiranya, barangan atau ciptaan daripada sumber peribumi dapat dipasarkan dengan meluasnya di Nusantara sendiri, ia sudah lebih daripada mencukupi untuk menarik pasaran antarabangsa kerana jumlah pengguna ciptaan tersebut sudah mencapai jutaan. Jumlah ini akan memberi keyakinan kepada pasaran antarabangsa untuk menerima barangan atau ciptaan Nusantara langsung ke arena global. Ini yang berlaku terhadap sumber peribumi bangsa Cina, India dan Jepun. Mereka memastikan bahawa rakyat mereka sendiri menyokong produk mereka sebelum memasarkannya ke luar negara.
Bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama (Ahmad Johari Bin Moain dalam Atiah Haji Md Salleh, 2004:51-52), iaitu bahasa kebangsaan di empat buah negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam, dan juga bahasa rasmi bagi negaranegara yang berkenaan, walaupun penutur hanya 60% di Brunei, 50% di Semenanjung Malaysia, 20% di Indonesia, 18% di Serawak, 14% di Singapura, dan 6% di Sabah. Ini disebabkan bahasa Melayu-Indonesia adalah pemersatu bagi bangsa Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam. Maka, jika ditinjau jumlah pengguna barangan atau ciptaan Nusantara, potensinya amat luas sekali dengan sejumlah 250 juta penutur bahasa Melayu di Nusantara. Jumlah ini sewajarnya menjadi pendorong bagi usaha sama semua negara Nusantara untuk menghasilkan ciptaan yang membangunkan budaya ilmu Melayu.
Maka sewajarnya, MABBIM memainkan peranan aktif dalam menggerakkan mekanisme cipta bumi ini dengan mendapatkan sokongan pemerintah dan media massa semua negara untuk bergabung bagi merealisasikan cipta bumi serantau. Bahan yang dihasilkan tidak seharusnya dilabelkan sebagai produk Malaysia, Brunei, Indonesia ataupun Singapura. Sebaliknya, ia harus dilabel sebagai produk NUSANTARA. Dengan simbiosis seumpama ini, rakyat pengguna bahasa Melayu akan lebih yakin dengan potensi dan masa depan bahasa Melayu, manakala dunia global akan melihat adanya sinergi dalam dunia Melayu yang pastinya berpotensi menjadi pasaran besar bagi dunia.
Dalam usaha menerobos segenap rakyat peribumi, masyarakat bahasa juga wajar melahirkan bahasa Melayu Supra (Abdullah Hassan dalam Sanat Md Nasir dan Rogayah A Razak, 1998:36-49) yang mampu menyatukan bangsa Melayu iaitu dengan membudayakan bahasa Melayu tinggi, yang dirujuk sebagai bahasa Melayu/Indonesia standard, ke dalam bahasa Melayu rendah yang dirujuk sebagai dialek-dialek yang ada. Dengan cara sedemikian, penguasaan ilmu dan teknologi dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat di semua negara-negara atau kawasan-kawasan yang mempunyai penutur bahasa Melayu. Sumber yang menjadikan prasarana perancangan adalah akhbar, majalah, buku, kamus, istilah, filem, internet, jaring, brunnet dan video. Kesannya, akan lahir Dialek Melayu Supra. Jika ini berlaku, kepustakaan dalam bahasa Melayu akan dimanfaatkan oleh seluruh bangsa Melayu. Ini akan mengisi minda Melayu asli dengan ilmu yang melahirkan pemikiran Melayu yang berupaya mencipta idea-idea asli, iaitu idea-idea yang belum pernah didengar atau dicipta sebelumnya. Walaupun setiap bangsa memiliki pemikiran asli, ia hilang apabila dikuasai oleh bahasa asing.
Kepentingan bahasa peribumi atau bahasa Melayu tidak dapat dinafikan. Pengalaman negara Cina, Korea dan Jepun (Abdullah Hassan, 2003) yang menunjukkan peningkatan dalam pembelian buku-buku bahasa Inggeris sebanyak 10% tetapi jumlah buku-buku yang dihasilkan oleh negara-negara tersebut dalam bahasa peribumi meningkat sebanyak 300%, wajar dijadikan iktibar. Ini membuktikan bahawa perlunya ada buku-buku baru bagi masyarakat pembaca dalam bahasa mereka sendiri yang sesuai dengan zaman mereka agar pemikiran mereka juga berkembang dengan arus maklumat baru yang dihasilkan.
Hashim Musa (Sanat Md Nasir dan Rogayah A Razak, 1998:30-34) menjelaskan bahawa Jepun telah lama dijajah dan didominasi oleh Tamadun China. Tatkala, kuasa pemerintahan dikembalikan kepada maharaja Jepun pada tahun 1868, ini membawa kepada “Restorasi Meiji” dengan polisinya untuk untuk mempelajari segala aspek ilmu pengetahuan daripada barat supaya membawa kemajuan kepada negara Jepun. Namun demikian, Jepun amat tegas dengan pendirian mereka iaitu ilmu pengetahuan dan teknologi yang baru mesti disampaikan dalam bahasa Jepun iaitu diletakkan dalam acuan mereka sendiri. Begitu juga negara Taiwan yang menghantar para pelajarnya ke Barat untuk menimba ilmu pengetahuan dan menyampaikanya kembali dalam bahasa Cina di Taiwan. Pendekatan ini penting kerana Taiwan telah memanfaatkan bahasa China sebagai pengantar pendidikan tinggi, sains dan teknologi sehingga memungkinkan pembinaan sumber daya manusia ditingkatkan ke tahap semaksimumnya. Keadaan yang sama juga berlaku di Korea yang memungkinkan proses pembudayaan ilmu sains dan teknologi amat luas berlaku di kalangan rakyat jelatanya.
Produk Nusantara wajar dihasilkan kerana ia merupakan satu trademark yang memberi identiti dan rasa kepunyaan di kalangan penduduk Nusantara. Dengan cara ini juga akan lahir perasaan bangga bangsa dan bahasa di kalangan peribumi Nusantara yang akan terus menyokong cipta bumi mereka sampai ke pasaran global.
4.1 Projek Global
Projek atau usaha ini tidak seharusnya dilabelkan sebagai usaha bahasa atau persuratan Melayu tetapi harus mempunyai simbol yang lebih luas dan jauh cakupannya. Ia tidak harus berbau nasionalis tetapi lebih bersifat global. Sewajarnya, ia harus dilihat sebagai satu usaha memartabatkan budaya dan warisan Melayu senusantara dari aspek menaikkan citra dan kewibawaan negera Melayu/Indonesia. Jika ini merupakan tumpuan MABBIM, maka potensi usaha ini diterima pemerintah, institusi dan syarikat-syarikat swasta amatlah baik kerana ia akan memanfaatkan semua pihak dan sangat progresif.
Dalam usaha menaiktarafkan piawai atau mutu kreativiti Melayu, mungkin tiba masanya diperolehi usaha sama negara-negara asing yang lebih maju dalam teknologi tertentu. Teknologi yang diperolehi itu boleh dimanfaatkan untuk menjana kreativiti bangsa dalam memanfaatkan sumber peribumi. Dengan cara ini, potensi ciptaan Melayu menerima pasaran serantau dan global adalah lebih baik lagi. Kita harus akur tentang kekurangan yang ada dan terus berusaha untuk memperbaikinya sehingga sampai satu ketika nanti, masyarakat Melayu dapat menghasilkan teknologi yang berupaya mengatasi teknologi pesaing. Ini yang pernah dilakukan oleh negara Jepun. Kini Jepun lebih hebat daripada negara barat yang membantu memulihkan Jepun yang pernah hancur akibat dibom oleh tentera bersekutu semasa perang dunia ke-dua.
4.1.2 Cabaran Penglobalan
Baru-baru ini sebuah komputer riba kanak-kanak telah dihasilkan oleh Institut Teknologi Massachusetts bagi initiatif “The non-profit One Laptop Per Child (OLPC)” (Digital Life, The Straits Time, 20 Februari 2007). Ini merupakan satu projek khas yang bertujuan meningkatkan taraf celik komputer di kalangan kanak-kanak di negara-negera miskin. OLPC merancang untuk menghasilkan 5 juta komputer yang mesra kanak-kanak ini yang akan dijual dengan harga US $150 dan kemungkinan kepada $100 apabila jumlah penghasilan mencapai 50 juta. Antara negara yang akan memperoleh komputer ini bagi keluaran pertamanya ialah Brazil, Uruguay, Libya, Rwanda, Pakistan, Thailand dan Indonesia. Komputer ini juga dilengkapi dengan keperluankeperluan asas komputer termasuk sistem internet, cantuman tanpa wayer, camera digital, dan perisian sumber terbuka sistem operasi Linux yang disesuaikan untuk kawasan pendalaman, serta mempunyai kemampuan pelbagai bahasa. Sistem ini lengkap dengan berbagai keperluan kreativiti bagi kanak-kanak.
Projek global OLPC ini sebenarnya merangkaikan kepakaran dari beberapa buah negera dengan belanja yang tinggi. Namun demikian, ia masih diteruskan kerana motif utama bukanlah keuntungan tetapi lebih kepada menduniakan celik komputer kerana mereka akur bahawa masalah utama dunia sekarang ini ialah masyarakat kawasan pendalaman dan negara-negara miskin semakin terkebelakang kerana mereka tidak mampu untuk mengikut sama perkembangan teknologi. Maka projek mega ini sebenarnya memang tepat pada waktunya dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin bermaharajalela. Usaha ini juga sebenarnya mempunyai implikasi keselamatan. Kini kanak-kanak di kawasan pendalaman sedar akan pergolakan dunia dan tidak mudah dipengaruhi anasir-anasir subversif di kawasan mereka.
Tekanan global juga menyebabkan negara Britain membuat penyesuaian terhadap sistem pendidikan mereka dengan menjadikan bahasa Mandarin dan Urdu selain bahasa Perancis, German dan Sepanyol sebagai bahasa yang wajar dipelajari di sekolah-sekolah, atas alasan untuk meningkatkan tahap saing di dalam diri rakyatnya sekali gus meningkatkan kemampuan saing bagi Britain (The Straits Times, 20 Februari 2007). Bahasa-bahasa tersebut dipilih kerana ia mempunyai pengguna yang ramai serta kemampuan ekonominya yang semakin ketara pada alaf ini. Negara-negara Cina dan India menjadi semakin menarik bagi pelaburan dan semakin ramai rakyat mereka bermastautin di negera-negara barat lalu menjadi pengguna barangan yang penuh potensi. Ini secara tidak langsung memaksa negara-negara barat akur kepada kepentingan bahasa kedua-dua negara tersebut. Maka pengglobalan bangsa dan sumber peribumi Cina dan India mula menampakkan hasil kepada negara-negara tersebut.
Dunia media radio juga telah menyesuaikan kewujudannya dengan menggabungkan teknologi visual melalui video ke dalam alam audio atau radio (Digital Life, The Straits Time, 20 Februari 2007). Kini stesen-stesen radio, khususnya di barat mengadakan lelaman-lelaman web radio yang boleh dimanfaatkan pendengan radio untuk berinteraksi dengan para juruhebah untuk mendapatkan maklumat dan hiburan. Dunia radio kini hidup semula dengan satu kelebihan iaitu gabungan audio dan visual dalam usaha memberikan khidmat yang lebih holistik dan peribadi. Kini pendengar boleh menghantar gambar-gambar mereka dan pengalaman mereka kepada juruhebah radio dengan menaikmuatkannya ke lelaman radio. Para juruhebah juga boleh mengadakan liputan langsung diri mereka semasa di dalam konti radio untuk ditonton pendengar. Demikian, usaha radio untuk kekal relevan dengan menjadikan kewujudan mereka global melalui internet.
Projek global sewajarnya menjadi arah dunia Melayu era ini memandangkan ia merupakan satu trend masa kini yang dijanakan oleh dunia antarabangsa. Lebih-lebih lagi dengan pergerakan manusia tanpa mengenal sempadan yang membawa sama budaya dan pemikiran mereka merentasi sempadan. Ini bermakna dunia Melayu juga akan menyerantau bersama dengan penuturnya dan potensi untuk ia dikembangkan di luar kawasan Nusantara amat baik sekali.
5.0 Kesimpulan
Penelitian dan kajian yang dijalankan menghasilkan satu rumusan yang sangat menarik dalam menjelaskan fenomena masa kini dan boleh menjadi model bagi perancangan masa depan. Rumusan awal menunjukkan bahawa alam maya kini semakin cenderung kepada alam realiti atau lebih tepat lagi ialah kedua-dua alam ini sedang mengalami satu proses sintesis. Ini terbukti dengan dapatan daripada kajian terhadap ketiga-tiga bidang teknologi iaitu teknologi kreatif “anime”, teknologi siber dan teknologi terapi psikologi.
Pertama sekali, dalam dunia “anime”, bahan-bahannya yang menjadi mekanisme penggerak cerita menggunakan watak-watak benar dan hidup serta latarbelakang suasana dan masa yang realitisk dan tema yang selaras dengan kemanusiaan sehingga “anime” ini menjalar kepada produk-produk praktikal seperti permainan dan pakaian serta alat solek sehingga ia menjadi fesyen statement dan lebih penting lagi menjadi panduan, dan pengekang jenayah dalam masyarakat seperti yang dilakukan oleh para pengikut agama Taois melalui komik mereka. “Anime” juga menanam, menyegarkan dan menyebarkan budaya masyarakat timur ke dalam jiwa masyarakatnya dan masyarakat lain yang mengikutnya.
Kedua, dari segi teknologi siber, bahasa lisan dan tulisan telah bergabung menjadi bahasa di internet kerana ciri-ciri kedua-dua jenis bahasa itu telah bersatu di dalam alam maya. Para pengguna internet telah menghasilkan wacana mereka sendiri yang unik dan hidup kerana di dalamnya terkandung budaya, nilai dan kemanusiaan. Laras internet memantulkan nadi bahasa Melayu. Blog pula merupakan tabung khazanah dokumen budaya bahasa dan cita rasa bangsa Melayu bagi masa kini dan masa depan memandangkan ia digunakan untuk mengisi sekian banyak maklumat kehidupan manusia Melayu dalam latar yang sebenar dan terbuka. Dalam lain ertikata, teknologi siber ini merupakan time machine bagi alam Melayu kerana kemampuannya untuk menjejak sejarah alam kemanusiaan Melayu yang lalu dan yang akan datang pada bila-bila masa sahaja dengan merujuk kepada sekian khazanah Melayu di dalamnya.
Ketiga, dari teknologi terapi psikologi, kisah-kisah yang menjadi bahan bagi genre persuratan yang bersifat cereka kini boleh berfungsi sebagai ubat kepada penyakit jiwa yang dialami manusia dalam dunia realiti memandangkan bahan-bahannya adalah adunan bahan realistik dan fantasi estetika. Ia juga secara tidak langsung menjadi bahan pengekang jenayah, dan penasihat kepada sesuatu perbuatan berdasarkan kesan sebab-akibat sesuatu perbuatan atau tindakan. Maka ia membawa kebaikan kepada alam nyata. Ia merupakan pembimbing kemanusiaan.
Dapat disimpulkan bahawa alam maya kini membudayakan, merakamkan dan membimbing manusia dan kemanusiaan dengan memanfaatkan bahasa dan sumber intelektual peribumi dalam pembangunan sains dan teknologi.
Bahasa Melayu dalam kewujudannya telah dimanfaatkan dengan begitu cemerlang sekali dengan lebih daripada 800,000 perkataan yang dihasilkan dan 350,000 istilah dalam pelbagai bidang dan disiplin. Kini tiba masanya ditinjau sejauhmana ia dapat dimanfaatkan bagi 2000 tahun akan datang, dalam zaman yang berpundakkan sains dan teknologi. Bagi memastikan perkara ini menjadi realiti sains bahasa Melayu wajar diteknologikan dengan membongkar segenap khazanah intelektual Melayu yang ada dan dikaji semula kemampuannya dalam menyiapkan diri bagi zaman mendatang. Dalam usaha ini, bahasa Melayu perlu terus wujud. Ini dapat dilakukan dengan menjadikan ia bahan teknologi yang berguna dan serasi dengan kehidupan manusia yang semakin memerlukan alam maya (internet), kekreatifan dan kesihatan jiwa atau mental. Maka satu produk Nusantara yang memanfaatkan bahasa dan sumber intelektual peribumi wajar dihasilkan untuk memenuhi keperluan manusia Melayu ini agar ia menjadi bahan global dan seterusnya mencorak trend masa depan.
______________
Bibliografi
1991. Webster’s Popular Encyclopedia. London: Chancellor Press.
A Thomas Young et al., “Improving Technological Literacy” dlm majalah Issues in Science and Technology Jilid XVIII No.4, hal. 73-87, 2002.
Abdullah Hassan, 2003. “Saranan Membina Kepustakaan Berbahasa Melayu” Kertas kerja dalam Seminar Bahasa dan Sastera sempena dengan Persidangan ke 42 MABBIM dan 8 MASTERA di Kuala Lumpur 8-13 Mac 2003, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
Alfred Siew, “Bloggers, Users to Shape Future Networks”, dlm akhbar Digital Life, The Straits Times, hal. 27 20 Februari 2007.
Asraf, 1996. Manifesto Budaya – Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia. Associated Press, “Japan Uses Cute Toons as Military Mascots” dlm The Straits Times, hal 10, 20 Februari 2007).
Atiah Haji Md Salleh, 2004. Rampak Serantau Terbitan Pada Sidang ke 43 Mabbim 8-12 Mac. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Bibi Yazmin Ahmad Shah cerpen "Rebah" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Buwana Baba cerpen "Beralah Cinta Hani" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Colville, B. 1990. Magic Mirrors. Bookmark, (Fall), 35-36.
Djohan Abdul Rahman cerpen "Salah Siapa" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Doll & Doll, 1977. Bibliotheraphy With Young People. Englewood, CO: Libraries Unlimited.
Durrah Ahmad cerpen "Mamaku Sayang" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Durrah Ahmad cerpen "Warkah Terakhir" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Fishman J.A., 1972. The Sociology of language. Den Haag-Paris : Mutton.
Haron Daud, 1994. Kesusasteraan Klasik – Manusia dan Kepercayaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang A.R et.al, 1998. Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Memasuki Alaf Baru. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Hassan Ahmad, 2003. “Memperkasakan Bahasa Melayu/Indonesia dalam Memperkukuhkan Peradaban Bangsa” Kertas kerja dalam Seminar Bahasa dan Sastera sempena dengan Persidangan ke 42 MABBIM dan 8 MASTERA di Kuala Lumpur 8-13 Mac 2003, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Hasaa'ree Ali cerpen "Romeo, Juliet, Rashid dan Anna" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Hairudin Harun, 2006. Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat – Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussein et.al, 1995. Tamadun Melayu. Jilid 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Juhairi Muhd Abd Halim, cerpen "Jangan Tinggal Daku" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Kamsiah Abdullah, 2000. Sikap, Penguasaan dan Penggunaan Bahasa Melayu di Singapura. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
Mark Joyce, “British Teen urged to Learn Mandarin, Urdu.” dlm akhbar The Straits Times, 20 Februari 2007
Maryani Yahya, 2005. Pemikir Islam. Singapura: Mediacorpradio & Majlis Ugama Islam Singapura.
Mazlee Muharram cerpen "Dialog antara Dua Insan" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz , “Laras Bahasa Melayu di Internet tidak Melanggar Aturan Berbahasa” dlm. SEKATA Tahun 2 Bil.2, 2001.
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, 2002. Melayu Singapura dalam Kritikan –Isu Bahasa dan Bangsa. Singapura : Angkatan Sasterawan 50.
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, 2004. Evolusi Bahasa Melayu di Singapura.
Tesis Sarjana Sastera. Institut Pendidikan Nasional, Univerisiti Teknologi Nanyang.
Mohammed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. “Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun” dlm. Aktivis Jilid VI, 2006.
Mohammed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. Masuri SN – Dalam Merenung
Dalam. Kumpulan Esei dan Kritikan 1977-2005. Singapura: Angkatan Sasterawan ‘50
Morawski, C. 1977. A role for Bibliotheraphy in Teacher Education. Reading Horizons, 37(3), 243-260.
Muhammad Hafiz Mohd Said cerpen "Bilik 105" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Noor Azean Omar, cerpen "Pertemuan" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Norhafizah Hashim cerpen "Peristiwa Sabtu Malam" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Norhaslinda et.al., 2006. Komik Sambil Belajar Sejarah – Cetakan Ketiga. Selangor: SNP Panpac (M) Sdn Bhd.
Noriah Mohamed, 1995. Jayengbaya: Memahami Pemikiran Jawa. Bangi: Pejabat Penerbit.
Noriah Mohamed, 1998. Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Nur Hafizah Aziz, cerpen "Aku Reda" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Nur Mashitah Hosain cerpen "Penyesalan" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Nurshimah Hasim, cerpen "Inikah Takdir" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
NYT, “Is Radio Still Radio if there’s Video?” dlm akhbar Digital Life, The Straits Times, hal. 11, 20 Februari 2007.
Pardeck, T., & Pardeck J. (Eds), 1993. Bibliotheraphy: A Clinical Approach for Helping Children. Philadelphia: Gordon and Breach. Reuters, “One Laptop Per Child Rolls Out Machines.” dlm akhbar Digital Life, The Straits Times, hal. 25, 20 Februari 2007.
Riordon. R., & Wilson, L. 1989. Bibliotheraphy: Does It Work ? Journal of Counselling and Development, 67 (9), 506-508.
S. Anwarul Md Sharif cerpen "Kekasih Ibu, Kekasih Anak" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Sanat Md Nasir & Rogayah A. Razak, 1998. Pengajian Bahasa Melayu Memasuki Alaf Baru.Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Shahidah Ayoob Angulliah, cerpen "Penyesalan" dlm akhbar Berita Harian, 1999.
Sharifah Khadijah Al Joofri, cerpen "Kemaafan di AidilFitri" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Shobha Tsering Bhalla, “Born in India but Made it Overseas” dlm akhbar Today, 27 Julai 2006
Siti Hajilah Adam cerpen "Kemelut" dlm akhbar Berita Harian, 2000.
Sukaryditisna, 1962. Bahasa Dan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tay Shi’an, “Blessed are those who...Behave”, dlm The New Paper, hal. 8-9, 24 Februari 2007
Zaccaria, Jr., & Moses, H. (1968). Facilitating Human Development Through Reading: The Use of Bibliotheraphy in Teaching and Couseling. Champaign, IL: Stipes.